Banyak hikmah yang boleh diambil daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Masanya untuk kembali ke akar umbi, mengenali rumah sendiri, menyantuni pasangan, anak-anak dan melakukan aktiviti sekeluarga yang dirampas dek kesibukan duniawi sebelum ini.
Sungguh penulis tidak faham mereka yang mempunya masalah untuk duduk diam-diam di rumah. Bukan kerajaan suruh pergi berperang atau duduk di rumah tanpa makan dan minum atau duduk kena buat perkara yang dipaksa. Hanya perlu duduk di rumah dan jangan keluar tanpa urusan penting. Jaga kesihatan dan keselamatan diri. Itu sahaja. Kenapa perlu berdegil? Rumah kan tempat tinggal kita, bukan rumah orang lain pun. Apa yang susah sangat untuk dilaksanakan?
Namun, menurut seorang teman. Anaknya remaja berusia belasan tahun, amat degil dan memang suka menghabiskan masa di luar rumah pun sebelum ini. Mereka sekeluarga sejenis yang banyak menghabiskan masa dengan urusan masing-masing. Ayah dan ibu sibuk dengan kerja. Kedua-dua anak mereka masing-masing sudah besar. Yang sulung berusia awal 20 an dan sudah bekerja. Yang bongsu masih bersekolah menengah dan yang bongsu inilah paling susah dibentuk.
Dalam keadaan kritikal seperti ini, demi untuk mematuhi PKP, ayahnya terpaksa berkeras dengan merampas kunci motor anaknya. Dan, sejak itu anak mula memberontak tidak mahu bertegur sapa dengan mereka. Ibu cuba menggunakan diplomasi. Bertanyakan masalah anak itu, apa yang menyebabkan dia tidak mahu mendengar kata? Apa susahnya untuk duduk di rumah?
Dan jawapan anak itu membuatkan ibu tersentak! Kata anak dalam nada keras, “Selama ini, papa dan mama tak duduk rumah langsung, tak ada pun saya bising! Mama dan papa pergi kerja pagi, balik malam, dan hujung minggu pun tiada di rumah, tak pernah saya tanya! Saya bosan duduk rumah. Saya dah biasa habiskan masa dengan kawan-kawan di luar! Dulu, bila saya ajak mama papa habiskan masa di rumah, mama papa tak nak dengar cakap saya. Sekarang, kerajaan cakap boleh pula mama dengar!”
Kredit Foto:Google
Masanya Kenali Sikap Anak dan Muhasabah Diri
Jadi, salah siapa sekarang apabila sudah dalam keadaan begini mahu membentuk anak-anak mendengar kata? Ya, tanggungjawab ibu dan ayahlah untuk memastikan anak-anak terkawal dan kekal di rumah walau dalam apa jua situasi dan alasan. Bukan lagi, perihal kerajaan atau pihak berkuasa untuk memastikan golongan begini tidak keluar rumah walaupun alasannya terbalik kepada mak dan ayah.
Walau terpaksa bertindak ‘keras’ dan ‘kejam’, lakukan demi kebaikan bersama dan pada masa yang sama mulakan untuk muhasabah diri dalam waktu yang lapang ini. menjadi tugas ibu dan ayah untuk emncipta ‘syurga’ dalam rumah itu sendiri. Manalah tahu daripada sekadar menuruti PKP ini, akhirnya sikap suka duduk di rumah ini mampu diteruskan walaupun selepas tamat tempoh berkurung. Dan, yang paling penting hubungan seisi keluarga dapat dieratkan dan menjadikan negara lebih harmoni.
Bagaimana Mencipta Syurga Dalam Rumah
- Sedih mendengar perihal masjid ditutup dan tiada lagi solat jemaah dilakukan oleh orang Islam. Maka, panjangkanlah amalan penting ini di rumah. Para bapa, tolong ajak isteri dan anak-anak untuk mendirikan solat jemaah bersama. Besar rahmat masuk ke rumah yang sentiasa berlangsungnya solat jemaah.
- Doa dan aminkan bersama. Mintalah kepada sang pencipta agar wabak Covid-19 ini berlalu pergi dan kita berada di bawah rahmat-Nya.
- Mengaji Quran adalah sangat dianjurkan. Waktu terluang yang ada ini, mengapa tidak mengasah bacaan yang semakin tumpul. Kemudian, imam yakni si bapa boleh menerangkan maksud bacaan kepada anak-anak.
Kredit Foto:Google
- Ibu laksanakan tugas sebagai sebaik mungkin terutamanya ibu yang bekerja sebelum ini. Masanya membayar semula hutang yang tertunggak di rumah selama sibuk dengan kerja sebelumnya.
- Masaklah yang enak-enak dan mencukupi untuk isi rumah. Jangan mengeluh kerana jika makan dan mium itu cukup untuk mereka, hati pasti bahagia. Tidak perlu lagi memesan makanan luar yang belum tentu bersih dan sihat. Dan, inilah masanya untuk duduk makan bersama; sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Kalau pada hari biasa, tak mungkin berlaku, kan?
- Kemas rumah dan hiaslah untuk memberikan suasana selesa kepada keluarga. Rumah yang bersih dan teratur membuatkan setiap isi di dalamnya tenang dan aman. Inilah masanya pun untuk kamu membersihkan ceruk-ceruk rumah yang dah lama berhabuk. Baju disusun kemas dan lantai berkilat.
- Adakan aktiviti melibatkan seisi keluarga. Jangan biarkan anak-anak melayan internet sepanjang hari. Maka, itu yang membawa kepada kebosanan kritikal kepada mereka. Mungkin boleh ajak anak-anak membuat kek, bersenam atau bermain permainan di rumah seperti catur, Saidina, Sahibbah dan sebagainya.
- Banyakkan bersabar dan toleransi pada waktu sukar ini. Ayah elakkan marah-marah, ibu kurangkan membebel dan anak-anak jangan gaduh-gaduh sesama adik-beradik. Ini bagi memastikan tidak ada suasana tegang sepanjang PKP.
Sumber: gempak.com