Apa yang selalu kita baca di media sosial adalah sebelum tidur, biasakan diri untuk memaafkan orang lain. Sama ada yang sengaja atau tidak sengaja mengguris hati kita ataupun tanpa kita sedari telah melukakan hati sesiapa. Benar, tidak salah andaian itu. Tetapi sebenarnya menurut sunnah Rasullah, terdapat lima amalan penting yang diajarkan Baginda untuk kita ikuti dan amalkan. Agar tidur kita beroleh berkat dan andainya ajal menjemput kita saat tidur, moga dengan kerendahan hati dan segala taubat mahupun amalan kita diangkat dan diterima-Nya, Insya-Allah.
Bagaimana cara untuk melapangkan hati dan membuat tidur lebih tenang
Allah SWT menciptakan malam sebagai waktu istirehat kepada semua makhluk-Nya. Melalui tidur, kita dapat menghilangkan rasa penat setelah seharian bekerja, belajar dan sebagainya. Akan tetapi, apabila kita tidur pasti ada ketikanya berlaku gangguan. Sama ada menerusi mimpi-mimpi buruk ataupun disebabkan gangguan lain. Lantara itulah ada sebab mengapa Rasulullah menganjurkan kita untuk berdoa sebelum tidur. Disamping itu, bukan sekadar berdoa, berikut disenaraikan beberapa amalan sebelum tidur yang disarankan Rasulullah SAW agar dapat menjaga kita daripada gangguan-gangguan lain.
1. Berwudhuk
Pesan Baginda sebelum tidur adalah selalu berada dalam keadaan suci. Hal ini kerana tidur tanpa wudhu mudah diganggu oleh jin dan syaitan. Lantaran itu, ketika hendak tidur jangan lupa untuk berwudhu sebagaimana disebutkan dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Apabila engkau hendak mendatangi pembaringan (tidur), maka hendaklah berwudhu terlebih dahulu sebagaimana wudhumu untuk melakukan solat.” (Hadis Riwayat. Al-Bukhari No. 247 dan Muslim No. 2710)
2. Membaca doa
Tidur dan bangun adalah perihal yang amat penting kerana ia adalah aktiviti awal dan akhir dalam menjalani kehidupan seharian. Daripada perspektif lain, kematian juga menghampiri kita bila-bila masa sahaja, termasuk semasa tidur. Dalam sabda Rasulullah S.A.W yang bererti: “Apabila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hendak tidur, beliau mengucapkan doa: ‘Bismika allahumma ahya wa amuutu (Dengan nama-Mu, Ya Allah aku mati dan aku hidup).’ Dan apabila bangun tidur, Baginda mengucapkan: “Alhamdulillahilladzii ahyaana ba’da maa amatana wailaihi nusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami, dan kepada-Nya lah tempat kembali).” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6324).
3. Membaca surah pendek
Amalan sebelum tidur Rasulullah adalah membaca surah pendek seperti Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas atau lebih popular dengan istilah tiga qhul dalam kalangan masyarakat kita. Ketiga-tiga surah ini tidak pernah lupa diucapkan oleh Rasulullah S.A.W sebelum tidur. Dari Aisyah radhiallahu anhu berkata: “Rasulullah SAW apabila hendak beranjak ketempat tidurnya setiap malam, Baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu meniupkan kedua-duanya dan membacakan keduanya surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Kemudian baginda mengusap dengan kedua-duanya bahagian mana saja semampunya. Baginda memulainya dari atas kepala dan wajahnya serta bahagian belakang dari badannya. Baginda melakukan perkara itu tiga kali.” (Hadis Riwayat Muslim).
4. Menjaga kebersihan tempat tidur
Rasulullah S.A.W menjelaskan posisi tidur yang tepat yakni, berbaringlah di atas rusuk sebelah kananmu. Rasulullah S.A.W juga melarang kita untuk tidur dalam keadaan meniarap. Selain itu, pesan Nabi sebelum tidur adalah dengan membersihkan tempat tidur terlebih dulu. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Apabila seorang dari kamu akan tidur pada tempat tidurnya, maka hendaklah mengibaskan kainnya pada tempat tidurnya itu terlebih dahulu, kerana ia tidak tahu apa yang ada di atasnya…”. Pada hadis lain disebutkan kibasannya tiga kali (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
5. Segera tidur setelah solat Isya’
Rasulullah S.A.W menyarankan kita untuk tidur segera setelah solat Isya’. Tetapi, jika ada perkara yang lebih bermanfaat setelah Isya’ boleh dilakukan dan menunda tidur sedikit lewat. Sunnah Rasulullah S.A.W menjelang tidur ini memudahkan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan solat tahajud di sepertiga malam.