Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak
Solat adalah tiang agama dan ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak. Dengan menunaikan solat, kita telah mengabdikan diri kepadaNya. Bahkan, solat yang sempurna boleh membantu menghapuskan dosa.
Ada sebuah hadis yang disebutkan mengenai gugurnya dosa-dosa orang yang menunaikan solat;
Maksud: “Solat lima waktu dari (solat) Jumaat ke solat Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadan ke puasa Ramadan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 233)
Bukan mudah untuk menggapai kesempurnaan solat, namun setiap dari kita perlu meletakkan usaha untuk memperbaiki solat kita ke arah kebaikan kerana solat merupakan tanggungjawab kita sendiri.
Sebab utama perlu memperbaiki solat adalah untuk menjadikan ia sebagai salah satu amalan yang boleh menebus dosa yang dilakukan. Bagaimana dengan solat boleh menggugurkan dosa?
1. Orang yang menunaikan solat diibaratkan mandi setiap hari
Ada sebuah hadis yang telah diriwayatka dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda;
Maksud: “Apa pendapat kalian sekiranya ada sungai di hadapan pintu rumah dan setiap hari kalian akan mandi lima kali sehari. Adakah kalian merasakan bahawa masih ada kotoran (daki) pada badanmu?
Para sahabat kemudian menjawab: “Tidak akan ada kotoran yang tersisa sedikit pun pada badannya.”
Baginda SAW kemudian menjawab: “Sama sahaja dengan orang yang menunaikan solat lima waktu. Allah akan menghapus semua kesalahannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 528)
Jika diamati, perbuatan mandi itu melibatkan banyak perkara untuk memastikan badan betul-betul bersih seperti menggosok gigi, mencuci muka, membasuh badan dengan sabun dan mencuci rambut. Jika salah satu daripada langkah ini ditinggalkan, maka tidak sempurnalah aktiviti mandi tersebut dan ia akan menyebabkan ada anggota badan yang tidak dibersihkan dengan sepenuhnya.
Nah, begitulah perihalnya dengan solat. Ia perlu dilakukan dengan baik dan berhati-hati agar setiap ‘kotoran’ yang ada boleh dihilangkan dengan baik.
2. Perbuatan memohon ampun dalam setiap posisi solat
Jika anda menghayati makna dalam bacaan solat, pasti anda memahami bahawa setiap bacaan tersebut adalah sebuah pengharapan kepada Allah.
Bukan sahaja pengharapan agar diberi kesejahteraan untuk kehidupan di dunia, tetapi juga supaya Allah mengampunkan dosa-dosa yang dilakukan.
Sebagai contoh, bacaan ketika duduk antara dua sujud ialah
رَبِّاغْفِرْلِيوَارْحَمْنِيوَاجْبُرْنِيوَارْفَعْنِيوَارْزُقْنِيوَاهْدِنِيوَعَافَنِيوَاعْفُعَنِّي
Maksud: “Wahai tuhanku, ampunkan dosaku, rahmati aku, bantulah aku, tinggikan darjatku, berikan rezeki kepadaku, berikan petunjuk kepadaku, lindungi aku dan ampunkan aku.” (Kitab Tuhfah al-Muhtaj, 2/77)
Sumber : tzkrh.com