Rezeki.. satu perkataan yang cukup sinonim dengan kebahagiaan. Rezeki datang dalam macam-macam cara, tidak semestinya hanya dari segi duit, malah ketenangan jiwa, badan dan kesihatan mental yang sihat, adanya orang yang baik di sekeliling kita juga merupakan rezeki yang cukup besar nikmatnya. Dalam Islam, kita dikurniakan bermacam-macam jenis solat yang mempunyai fungsi atau kebaikan yang berbeza, antaranya solat tahajud untuk ketenangan dan kelancaran, solat taubat untuk memohon keampunan Allah SWT, solat hajat untuk meminta sesuatu yang diidamkan, solat ishtikarah untuk mendapat petunjuk apabila buntu dengan sesuatu keputusan, dan solat dhuha yang khusus untuk minta dimurahkan rezeki dalam kehidupan seharian kita.
Rasulullah SAW tidak meninggalkan 3 amalan sunat ini; berpuasa pada Isnin, Khamis dan hari putih (hari ke 13,14 dan 15 setiap bulan dalam kalendar Islam), solat sunat witir sebelum tidur dan juga solat sunat dhuha. Ini jelas menunjukkan kepentingan solat sunat dhuha yang seeloknya kita amalkan setiap hari.
Ramai yang mungkin tak pasti bila kita boleh solat dhuha? Paling simple untuk kita tahu, ia boleh didirikan di antara 15 minit selepas matahari terbit sampailah 15 minit sebelum masuknya waktu solat fardhu zohor. Kalau kita tak pasti pukul berapa secara spesifik, boleh rujuk pada apps Islamik seperti The Noor dan Muslim Pro yang dah tunjuk siap siap waktu solat dhuha bermula setiap hari. Bagi saya sendiri, saya lebih suka dirikan solat sunat dhuha seawal awalnya walaupun kita ada lebih kurang 6 jam antara terbitnya matahari sampai masuknya waktu zohor. Sebaik sahaja kita selesai dengan solat subuh, mungkin kita boleh baca Quran dan terjemahannya, berzikir, baca buku-buku Hadis Rasulullah SAW sebelum masuknya waktu solat dhuha. Kan best kalau kita terus solat dhuha lepas tu, bersiap untuk kerja dan teruskan hari kita dengan hati yang cukup lega dan tenang sebab dia ala ala hutang kita dah pun terbayar dan insyaAllah, rezeki akan terjamin sepanjang hari sama ada dari segi kewangan, kelancaran hari kita dan macam macam lagi.
Cara nak solat dhuha ni sangatlah mudah. Berikut ialah cara-caranya.
- Niat. Niatnya adalah Sahaja Aku Solat Sunat Dhuha 2 Rakaat Kerana Allah Taala.
- Takbiratul Ilhram.
Rakaat pertama
- Doa iftitah (sunat)
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca apa apa surah pilihan
- Rukuk dan sujud seperti biasa
Rakaat kedua
- Membaca surah Al-Fatihah
- Membaca surah Al-ikhlas (atau mana mana surah pilihan)
- Rukuk dan sujud seperti biasa. Namun, dalam sujud terakhir sebelum duduk untuk tahiyyat akhir selepas bacaan “Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih” 3 kali, sunat untuk kita kekal dalam sujud itu lebih lama berbanding sujud sujud yang lain. Pada saat inilah kita boleh doa melalui hati untuk apa apa rezeki yang kita inginkan dan semoga Allah SWT jadikan kita pemurah dengan rezeki yang Dia berikan.
- Duduk tahiyat akhir dan beri salam.
Seeloknya, kita bacalah doa juga lepas habisnya solat dhuha. Kita selalu bayangkan orang yang hidup serba mencukupi ni mesti sebab dia kerja kuat dan ada sumber pendapatan yang baik tapi janganlah kita lupa yang solat sunat dhuha juga mampu memberikan rezeki melimpah ruah kepada seseorang selain kerja keras tersebut. Selalu ingat, apabila kerja keras digandingkan dengan ibadah, doa dan tawakal, insyaAllah, hasilnya tidak akan pernah menghampakan. Sebagai seorang yang cukup cinta dengan solat dhuha, saya boleh guarantee kepada anda semua, yang amalan ini akan membuatkan kita semua rasa cukup dan bersyukur dengan semua yang kita ada, walaupun mungkin harta dan baki dalam akaun bank tak sebanyak sesetengah orang. Solat dhuha mampu memberikan kita hati dan jiwa yang tenang dan rezeki yang tidak akan pernah putus. Ameen YRA.